PITAS/PAITAN, 26 Jun 2026 — Program Jelajah Dakwah Pitas, Paitan dan Kota Marudu anjuran Sabah Relief telah memulakan siri hari pertamanya dengan pelbagai pengisian dakwah, pendidikan al-Quran serta penyampaian bantuan kepada golongan asnaf di beberapa lokasi sekitar daerah Pitas dan Paitan.
Program dimulakan dengan pelaksanaan Khutbah Jumaat di dua buah masjid. Di lokasi pertama, Masjid Al Amin, Pekan Pitas, khutbah telah disampaikan oleh YBhg. Ust. Haji Muhammad Akmal bin Othman Al Hafiz. Manakala di lokasi kedua, Masjid Pangiran Hj. Abd. Karim, Kampung Kalumpang, khutbah telah disampaikan oleh YBhg. Ust. Tarmizi Yahya, Pengarah Urusan Sabah Relief.
Sejurus selesai Solat Jumaat, program diteruskan dengan Majlis Khatam Talaqqi al-Quran bagi meraikan peserta yang telah menamatkan pengajian talaqqi di bawah bimbingan YBhg. Ust. Haji Muhammad Akmal bin Othman Al Hafiz. Pada kali ini, peserta yang diraikan ialah Ustazah Nur Hashimah Mohammad Tan dari Kampung Kanibongan, Pitas, yang juga merupakan Finalis Qariah Sabah 2026. Majlis ini menjadi simbol penghargaan terhadap kesungguhan beliau dalam mendalami bacaan al-Quran secara bertalaqqi bersanad.
Pada sebelah malam pula, dua buah Kuliah Maghrib telah berlangsung serentak di daerah Paitan. Di Masjid Al Jannatul Firdaus, Kampung Sungai-Sungai Sugut, kuliah telah disampaikan oleh YBhg. Ust. Haji Muhammad Akmal bin Othman Al Hafiz, manakala di Masjid Al Hijrah, Kampung Kabuluh, Sugut, kuliah telah disampaikan oleh YBhg. Ust. Tarmizi Yahya.
Dalam masa yang sama, Sabah Relief turut menyampaikan bantuan kepada beberapa buah keluarga asnaf di kedua-dua kampung tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat yang memerlukan. Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban penerima di samping mengeratkan hubungan antara pendakwah dan komuniti setempat.
Sejurus selepas Solat Isyak, program diteruskan lagi dengan Majlis Khatam Talaqqi al-Quran bagi seorang lagi peserta di bawah bimbingan YBhg. Ust. Haji Muhammad Akmal bin Othman Al Hafiz, iaitu Imam Jefri bin Doing. Majlis ini menjadi penutup yang penuh bermakna bagi pengisian hari pertama jelajah dakwah.
Sabah Relief merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh penyumbang yang terus istiqamah menyokong usaha dakwah, pendidikan al-Quran dan kebajikan yang dilaksanakan. Sumbangan para dermawan menjadi pemangkin kepada terlaksananya program seperti ini, sekali gus membawa manfaat kepada masyarakat di pedalaman Sabah.
Semoga segala amal kebajikan yang disumbangkan diterima oleh Allah SWT dan menjadi saham akhirat yang berpanjangan buat semua penyumbang serta mereka yang terlibat dalam menjayakan Jelajah Dakwah Pitas, Paitan dan Kota Marudu.
#SabahRelief #ADAB #AkademiDakwahBorneo #PemerkasaanDakwah #KuchingSarawak #Borneo #Dakwah #PendidikanIslam #BersamaDenyutNadiUmmah
