Laman Utama

Merentas 1,025 KM: Misi Kasih Sarawak 2026 Santuni 20 Keluarga Asnaf di Pedalaman Sarawak

20 Jun 2026

Suasana Misi Kasih Sarawak di Perkampungan Pusa

PUSA, SARAWAK — Demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan, rombongan Sabah Relief telah merentas perjalanan sejauh 1,025 kilometer melalui negara Brunei Darussalam untuk menjayakan Misi Kasih Sarawak 2026 di Kampung Spinang, Pusa, Sarawak.

Misi ini adalah merupakan antara usaha berterusan Sabah Relief dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan tanpa mengira lokasi dan jarak. Walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang panjang merentasi negeri dan negara, semangat untuk menyampaikan amanah para penyumbang menjadi pendorong utama kepada pasukan misi.

Terletak di daerah Pusa dalam Bahagian Betong, Sarawak, Kampung Spinang merupakan sebuah perkampungan yang tenang dengan masyarakat yang masih kuat mengamalkan budaya gotong-royong dan kehidupan bermasyarakat. Keindahan alam semula jadi serta suasana kampung yang damai menjadikan kawasan ini unik, namun pada masa yang sama masih terdapat keluarga yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak.

Program yang diadakan di Surau Kampung Spinang itu telah menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh ukhuwah dan kasih sayang. Melalui program tersebut, seramai 20 keluarga asnaf telah menerima sumbangan bakul makanan yang mengandungi keperluan asas bagi membantu meringankan beban perbelanjaan harian mereka.

Majlis dimulakan dengan tazkirah and ucapan yang disampaikan oleh Ustaz Tarmizi Yahya, yang mengingatkan hadirin mengenai kepentingan syukur, semangat persaudaraan dan tanggungjawab membantu golongan yang memerlukan. Program kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Tuan Haji Idris, yang turut menzahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk bersama-sama menjayakan misi kebajikan yang penuh makna ini.

Ucapan dan Tazkirah Ustaz Tarmizi Yahya bersama Tuan Haji Idris

Misi Kasih Sarawak kali ini turut dijayakan hasil kerjasama erat antara Sabah Relief bersama Tuan Haji Idris dan sahabat-sahabat beliau dari Brunei Darussalam yang sentiasa komited menyokong usaha kebajikan dan kemanusiaan merentas sempadan.

Misi Kasih Sarawak kali ini membuktikan bahawa jarak dan sempadan bukanlah penghalang untuk menyebarkan kebaikan serta meringankan beban saudara kita yang memerlukan.

Dalam pada itu, ramai penerima bantuan menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan semua pihak yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyampaikan bantuan kepada masyarakat di kampung mereka. Bagi mereka, kehadiran rombongan bukan sahaja membawa bantuan keperluan asas, tetapi turut memberikan semangat dan kegembiraan kepada keluarga yang menerima manfaat.

Agihan Sumbangan Bakul Makanan kepada Asnaf Kampung Spinang

Sabah Relief merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Haji Idris dan rombongan dari Brunei Darussalam, En. Ariffi Rosli dari Bintulu, En. Muazzin dari Kedah, Haji Ayu, seluruh penduduk Kampung Spinang, para sukarelawan, penyumbang serta semua pihak yang telah membantu menjayakan Misi Kasih Sarawak 2026.

Sesungguhnya setiap sumbangan yang diberikan membuktikan bahawa semangat kemainan mampu menyatukan masyarakat tanpa mengira sempadan negeri, bangsa dan latar belakang. Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan menjadi amal soleh yang diterima di sisi Allah SWT serta memberi manfaat yang berpanjangan kepada masyarakat yang disantuni.

“BERSAMA DENYUT NADI UMMAH”

#SabahRelief #MisiKasihSarawak #KgSpinang #PusaSarawak #SantuniAsnaf #BersamaDenyutNadiUmmah #BruneiDarussalam #Sarawak